Johor Civil Service (JCS) terus memperkukuh agenda transformasi perkhidmatan awam menerusi penganjuran Johor Civil Service Executive Talk bertemakan “Are We Reinventing Fast Enough?” yang berlangsung di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, hari ini.
Program ini memberi tumpuan kepada aspek kepimpinan, transformasi dan penyampaian perkhidmatan awam dalam mendepani perubahan serta tuntutan semasa.
Dalam ucapan pembukaan, Yang Berhormat Dato’ Mohammed Ridha bin Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor, menegaskan bahawa transformasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan suatu keperluan bagi memastikan perkhidmatan awam kekal tangkas, responsif dan relevan dengan keperluan rakyat.
Selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030, warga perkhidmatan awam Johor perlu terus memperkukuh keupayaan, menambah baik cara kerja serta berani mencabar pendekatan sedia ada bagi menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berimpak.
Program turut menampilkan sesi Global CEO Survey, Value in Motion serta Leadership Dialogue yang menghimpunkan barisan pemimpin kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk membincangkan keperluan transformasi serta langkah-langkah strategik yang perlu dilaksanakan pada masa kini bagi memastikan Johor terus berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.










