Johor Catat Pertumbuhan Tertinggi di Malaysia
Johor terus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun 2025 apabila muncul sebagai negeri yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi mengatasi semua negeri iaitu sebanyak 8.0 peratus.
Nilai KDNK negeri meningkat kepada RM170.9 bilion berbanding RM158.3 bilion pada tahun 2024, sekali gus mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.2 peratus serta melepasi prestasi pertumbuhan Johor pada tahun sebelumnya.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak 9.8 peratus kepada KDNK Malaysia.
Sektor Perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Johor dengan merekodkan pertumbuhan sebanyak 9.9 peratus, meningkat daripada 6.0 peratus pada tahun 2024.
Prestasi memberangsangkan ini disokong subsektor Utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan ICT yang melonjak 20.8 peratus.
Peningkatan ini mencerminkan perkembangan pesat infrastruktur digital dengan perkembangan pusat data serta pengukuhan aktiviti logistik di negeri ini.
Subsektor Perdagangan borong dan runcit, makanan & minuman dan penginapan turut meningkat 6.7 peratus didorong oleh peningkatan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa yang terus merangsang perbelanjaan pengguna serta permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan.
Sektor Pembuatan pula berkembang sebanyak 4.0 peratus, kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi Johor.
Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan termasuk industri pemprosesan makanan.
Dalam masa yang sama, sektor Pembinaan terus mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 26.7 peratus, didorong oleh perkembangan positif dalam semua subsektor khususnya pembinaan bangunan.
Pertumbuhan pesat ini disumbang terutamanya oleh peningkatan aktiviti pembinaan bangunan bukan kediaman, khususnya kemudahan pusat data yang terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi digital negara.
Sektor Pertanian turut berkembang pada kadar 1.1 peratus dipengaruhi oleh pertumbuhan dalam subsektor Tanaman, khususnya kelapa sawit.
Walaupun mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan, sektor ini terus memainkan peranan penting dalam menyokong keterjaminan makanan, pembangunan luar bandar dan keseimbangan struktur ekonomi negeri.
Secara keseluruhannya, Prestasi yang dicapai pada tahun 2025 akan menjadi asas kepada usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh daya saing ekonomi, meningkatkan produktiviti, memperluas peluang pelaburan dan memperkukuh sektor-sektor strategik demi kesejahteraan Bangsa Johor selaras dengan hala tuju Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP).

