Warga Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) telah menyertai Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M anjuran Masjid Kota Iskandar dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor yang berlangsung di Masjid Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Majlis dimulakan dengan perarakan pada pukul 8.30 pagi yang melibatkan jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Kota Iskandar.
Perarakan tersebut dimeriahkan dengan alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sekali gus menyemarakkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW bersempena dengan sambutan bertemakan “Maju Johor Dihayati, Ummah Diberkati”.
Sambutan ini menjadi wadah untuk memperingati kelahiran Rasulullah SAW serta menghayati sirah, sunnah, akhlak dan ajaran Baginda sebagai panduan dalam kehidupan. Majlis ini juga dapat memperkukuh ukhuwah dan menyuburkan penghayatan Islam dalam kalangan warga perkhidmatan awam.























