Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) dengan kerjasama Pusat SDG Negara (PSN), Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Program Pembangunan Kapasiti Penyediaan Voluntary Local Review (VLR) Dan Voluntary Sub-National Review (VSR) Peringkat Zon Selatan pada 5 dan 6 Oktober 2026.
Program ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman peserta mengenai tadbir urus SDG, penyediaan VLR dan VSR, pengurusan data serta peranan setiap agensi dalam pelaksanaan pembangunan mampan.
Ia juga bagi memastikan VLR dan VSR yang disediakan terus digunakan sebagai living document dalam proses membuat keputusan, menentukan keutamaan dan memantau kemajuan pembangunan agar setiap dasar, program dan projek dijalankan memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat selaras dengan prinsip Agenda 2030 iaitu setiap proses pembangunan hendaklah memastikan tiada sesiapa yang tercicir atau terpinggir – Leave No One Behind.
Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Muhammad Syahrizat bin Alwee, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor selaku wakil rasmi bagi Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor manakala majlis penutup telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan).
Program ini melibatkan penyertaan daripada agensi/jabatan Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Melaka termasuk Pejabat Daerah, Pejabat Tanah Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kedua-dua negeri.
Sesi perkongsian ilmu dan pengaalaman telah disampaikan oleh Pihak PSN, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PLANMalaysia Selangor, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), UN-Habitat, Urbanice Malaysia dan UPEN Melaka.
Program ini juga akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan tadbir urus SDG, kerjasama rentas agensi serta perancangan pembangunan berasaskan bukti dan seterusnya diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.



























