Syabas dan tahniah diucapkan kepada Tc. Mohd Nazainurin bin Mohd Nawawi, warga Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Johor atas kejayaan merangkul Naib Juara di Anugerah Inovasi Pertahanan Awam (AIPA) 2026 yang berlangsung pada 3-4 Ogos 2026.
Beliau telah menghasilkan inovasi produk berasaskan radio komunikasi yang diberi nama Analog to Digital (A2D Connect).
Produk hasil kerjasama BPEN Johor bersama Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (PULAPAS) dan Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN), Pagoh ini berfungsi sebagai medium perantara yang menukarkan frekuensi radio komunikasi analog kepada digital dan ini membolehkan komunikasi tersebut didengari secara terus melalui telefon bimbit.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen warga BPEN Johor dalam meneroka dan membangunkan inovasi bagi memperkasa perkhidmatan awam. Malah, produk ini turut akan mewakili APM ke peringkat Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri (AI JPM) pada tahun 2027.
Tidak ketinggalan, satu lagi produk beliau iaitu Rescue Operation Network Communicator (RONC) yang pernah mendapat tempat Ketiga di AIPA 2025, juga telah mewakili negara ke peringkat AI JPM 2026 pada bulan Jun lalu dan keputusan pertandingan tersebut akan diumumkan pada Oktober 2026.
Semoga pencapaian cemerlang ini dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga BPEN Johor untuk terus melahirkan idea, proses dan teknologi baharu demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.






