Kerajaan Negeri Johor terus komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjaga.
Isu kerosakan kemudahan dan infrastruktur awam di kawasan perumahan EDL sebelum ini telah diberi perhatian serius dan diselaraskan bersama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Tujuannya bagi memastikan kemudahan asas serta persekitaran kediaman penduduk dapat dipulihkan dan disenggara dengan lebih baik.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, Kerajaan Negeri Johor telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.57 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan EDL Fasa 1 dan RM25 juta bagi Fasa 2.
Kerja-kerja penyelenggaraan ini melibatkan 294 unit rumah dan 39 unit kedai. Ia turut merangkumi kerja-kerja membaik pulih kebocoran lapisan kalis air di aras bumbung tujuh (7) blok serta penggantian pintu unit rumah dan bilik utiliti.
Selain itu, skop kerja turut merangkumi aspek mekanikal dan elektrikal seperti pembaikan tangki, pam, paip, sistem penggera dan sistem pencegah kebakaran, pendawaian elektrik, sistem lif serta lurang dan paip sistem kumbahan dalaman.
Usaha ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembaikan fizikal, malah merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kawasan perumahan EDL diurus dan disenggara dengan lebih baik demi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk.










