Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali telah hadir menyampaikan pengisian utama dalam sesi Synergy Executive Talk sempena Retreat Belanjawan Pembangunan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) 2026. Kehadiran strategik ini menjadi platform penting dalam mencorak naratif pembangunan berimpak tinggi, khususnya bagi mempersiapkan Kerajaan Negeri Johor mendepani penyediaan Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13). Langkah kolaboratif ini mencerminkan komitmen jitu MINDA-UKM sebagai gedung pemikir dalam menyalurkan input substantif bagi memacu fasa pertumbuhan ekonomi baharu negara.
Melalui pembentangan bertajuk “Building Strength, Resilience and Long-Term Prosperity for Johor: In Search of Good Growth”, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan mengupas secara mendalam tentang peri pentingnya beralih daripada sekadar mengejar pertumbuhan angka (growth) kepada penjanaan “Pertumbuhan yang Baik” (Good Growth).
Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan masa hadapan Johor perlu dipandu oleh peningkatan kompleksiti ekonomi (economic complexity) serta pengagihan yang seimbang merentasi seluruh daerah bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam negeri.
Di samping itu, landskap ekonomi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), Ekonomi Hijau, serta impak pasca-kesiapan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) menjelang penghujung 2026 diangkat sebagai pemangkin kritikal yang menuntut unjuran dasar yang dinamik dan holistik.
Sesi interaktif yang dihadiri oleh barisan pegawai kanan dan perancang ekonomi BPEN Johor ini menjadi manifestasi penting terhadap pendekatan all-of-Malaysia dalam pengurusan makroekonomi yang matang.
Perkongsian ini bukan sahaja memberi nilai tambah dalam memperkukuh keupayaan institusi perancangan negeri, malah memastikan setiap ringgit belanjawan pembangunan yang dirangka bakal diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat serta kemakmuran jangka panjang.
Sumber : MINDA UKM










