Terletak di penghujung Benua Asia, Negeri Johor merupakan antara negeri utama yang memberikan sumbangan yang besar di dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia. Memiliki dua wilayah koridor ekonomi iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta dengan sokongan tiga Zon Khas di negeri Johor iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFC) dan Zon Khas Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC). Menerusi pembangunan yang mampan, dinamik dan komprehensif, Negeri Johor mensasarkan untuk muncul sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ini menjelang 2030.
Pada tahun 2023, ekonomi Johor telah mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM148.2 bilion dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun 2022. Johor berjaya menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh dalam era pasca pandemik walaupun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu. KDNK Johor menyumbang sebanyak 9.5 peratus kepada ekonomi Malaysia, menjadikannya penyumbang ketiga terbesar selepas Selangor (25.9%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.9%).
Dari segi pelaburan, pada tahun 2024 Johor telah merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM48.5 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding RM43.1 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara negeri utama sebagai destinasi pelaburan di Malaysia. Sektor pembuatan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM14.2 bilion. Johor seterusnya telah mencatat pelaburan berjumlah RM27.4 bilion bagi suku pertama tahun 2025 menerusi Pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas
Populasi Penduduk Negeri Johor Mengikut Daerah (2023)
Lokasi strategik Johor yang berhampiran dengan laluan perdagangan utama dunia serta kedudukannya sebagai hab perdagangan antarabangsa menjadikan negeri ini sebagai nadi pertumbuhan ekonomi serantau. Keistimewaan ini turut disokong oleh jaringan logistik yang sistematik dan efisien.
Tiga pelabuhan utama negeri iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Tanjung Langsat dan Pelabuhan Johor berfungsi sebagai hab kepada rangkaian industri yang komprehensif, merangkumi sektor petrokimia, kejuruteraan, telekomunikasi, barangan elektrik dan pemprosesan makanan. Jalinan pelabuhan ini ke pusat komersial dan industri penting di seluruh negara serta ke pelabuhan antarabangsa turut diperkukuh dengan sistem infrastruktur jalan raya dan rel yang efisien. Menjadi kebanggaan negeri, apabila Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah direkodkan menduduki di tangga ke-4 dalam senarai Top 20 Pelabuhan Paling Efisien Dunia berdasarkan Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2024 oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence. disokong apabila menjadi terminal kontena pertama di Malaysia mengendalikan lebih 12.25 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun pada 2024.
Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai berperanan sebagai hab logistik udara bertaraf dunia yang menyediakan pakej perkhidmatan komprehensif merangkumi penerbangan, kargo, logistik dan fasiliti penumpang.
Tenaga buruh Johor juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan. Pada tahun 2023, tenaga buruh meningkat sebanyak 2.9 peratus berbanding hanya 1.3 peratus pada 2022. Jumlah tenaga buruh direkodkan seramai 2.07 juta orang berbanding 2.013 juta orang pada tahun sebelumnya. Bilangan penduduk yang bekerja juga meningkat kepada 2.01 juta orang pada 2023 berbanding 1.949 juta orang pada 2022.
Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada jumlah penduduk bekerja di Johor dengan seramai 1.223 juta orang pada tahun 2023 telah direkodkan berbanding 1.1 juta orang pada tahun 2022.
Kesemua faktor ini menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan utama pelabur domestik dan antarabangsa serta menjadi pemangkin kepada potensi maksimum pertumbuhan ekonomi negeri. Ia selaras dengan aspirasi Visi Johor Menuju kearah Negeri Maju 2030.
Sektor perkhidmatan adalah sektor yang terbesar memberi sumbangan kepada KDNK Negeri Johor pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM79.96 bilion mewakili 54% dari keseluruhan sektor dan diikuti oleh sektor pembuatan iaitu sebanyak RM44.17 bilion (29.8%) manakala sektor pertanian bernilai RM17.21 bilion ( 11.6%).