Terletak di penghujung Benua Asia, Negeri Johor merupakan antara negeri utama yang memberikan sumbangan yang besar di dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia. Lokasi strategik Johor yang berhampiran dengan laluan perdagangan utama dunia serta kedudukannya sebagai hab perdagangan antarabangsa menjadikan negeri ini sebagai nadi pertumbuhan ekonomi serantau.
Memiliki dua wilayah koridor ekonomi iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) serta dengan sokongan dua Zon Khas di negeri Johor iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFC). Menerusi pembangunan yang mampan, dinamik dan komprehensif, Negeri Johor mensasarkan untuk muncul sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ini menjelang 2030.
Pada tahun 2024, Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024 dengan kadar 6.4 peratus mengatasi kadar pertumbuhan nasional iaitu 5.1 peratus. Johor terus kekal sebagai antara penyumbang utama kepada KDNK negara (9.6% kepada KDNK Nasional) dengan nilai keseluruhan mencecah RM158.0 bilion. Prestasi ini disokong oleh kedudukan Johor yang strategik di selatan Semenanjung Malaysia, jaringan infrastruktur moden, pelabuhan bertaraf antarabangsa serta kawasan perindustrian yang luas dan kompetitif.
Dari segi pelaburan, pada tahun 2024 Johor telah merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM48.5 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding RM43.1 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara negeri utama sebagai destinasi pelaburan di Malaysia.
Prestasi cemerlang Johor pada tahun 2024 membuktikan negeri ini sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan bersedia mendepani cabaran ekonomi global dengan keyakinan serta daya saing tinggi.
POPULASI PENDUDUK NEGERI JOHOR MENGIKUT DAERAH (2024)

Lokasi strategik Johor yang berhampiran dengan laluan perdagangan utama dunia serta kedudukannya sebagai hab perdagangan antarabangsa menjadikan negeri ini sebagai nadi pertumbuhan ekonomi serantau. Keistimewaan ini turut disokong oleh jaringan logistik yang sistematik dan efisien.
Tiga pelabuhan utama negeri iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Tanjung Langsat dan Pelabuhan Johor berfungsi sebagai hab kepada rangkaian industri yang komprehensif, merangkumi sektor petrokimia, kejuruteraan, telekomunikasi, barangan elektrik dan pemprosesan makanan. Jalinan pelabuhan ini ke pusat komersial dan industri penting di seluruh negara serta ke pelabuhan antarabangsa turut diperkukuh dengan sistem infrastruktur jalan raya dan rel yang efisien. Menjadi kebanggaan negeri, apabila Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah direkodkan menduduki di tangga ke-4 dalam senarai Top 20 Pelabuhan Paling Efisien Dunia berdasarkan Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2024 oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence dan disokong apabila menjadi terminal kontena pertama di Malaysia mengendalikan lebih 12.25 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun pada 2024. Lapangan Terbang Antarabangsa Senai berperanan sebagai hab logistik udara bertaraf dunia yang menyediakan pakej perkhidmatan komprehensif merangkumi penerbangan, kargo, logistik dan fasiliti penumpang.
Kadar penyertaan tenaga buruh di negeri Johor terus meningkat kepada 71.6 peratus iaitu jumlah tenaga buruh direkodkan adalah seramai 2.12 juta orang berbanding 2.07 juta orang pada tahun sebelumnya. Bilangan penduduk yang bekerja juga meningkat kepada 2.1 juta orang pada 2024 berbanding 2.01 juta orang pada 2023 diikuti penurunan kadar pengagguran kepada 2.3% menunjukkan pasaran buruh yang semakin aktif dan berdaya saing.
Prestasi ekonomi Negeri Johor pada tahun 2024 membuktikan keupayaan negeri ini sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Dengan asas ekonomi yang kukuh, kedudukan strategik, ekosistem pelaburan yang kondusif serta pasaran buruh yang semakin dinamik, Johor berada pada landasan yang tepat untuk terus berkembang secara mampan dan berdaya saing. Pelaksanaan inisiatif dan pelan pembangunan yang strategik negeri dijangka akan terus memperkukuh daya tahan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi bagi memacu pembangunan Johor menjadi sebuah negeri maju yang progresif, inklusif, dan mampan menjelang tahun 2030.